CHIEW Chun Yong.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


WALAUPUN membantu Malaysia muncul juara kejohanan futsal empat penjuru di China baru-baru ini, tiada jaminan semua 16 pemain akan dikekalkan.

Ketua jurulatih futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong berkata, beliau akan melakukan perubahan kecil pemain bagi menyediakan pasukan terbaik menjelang kejohanan futsal antarabangsa di Changshu, China pada 5 hingga 9 Oktober depan.

Katanya, beliau masih melakukan eksperimen bagi menguji keserasian antara beberapa pemain baru termasuk dari segi taktikal hasil pemerhatian terhadap pasukan di kejohanan ‘The Belt and Road Cup CFA International Futsal Tournament 2019’ di Chengdu China, baru-baru ini.

“Rumusan saya, tahap kecergasan fizikal pemain kita tidak mampu bertahan untuk keseluruhan perlawanan yang membabitkan lima atau enam perlawanan hingga ke final.

“Apa yang saya bimbang bila tiba perlawanan kedua dan ketiga tahap kecergasan pemain tidak memenuhi standard antarabangsa.

“Sebab itu saya tekankan kepada pemain mesti lakukan latihan tambahan bukan saja dalam kem, malah bila berlatih dengan kelab masing-masing.

“Ini kerana mereka sudah tahu apa keperluan untuk perlawanan antarabangsa misalnya daripada segi kekuatan fizikal, tempo dan taktikal permainan,” katanya ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini.

Mengulas lanjut, Chiew berkata, kejohanan di Changshu penting bagi menguji persembahan skuad negara sama sebelum Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2019 bermula 21 hingga 27 Oktober depan di Vietnam.

“Skuad negara akan mengadakan beberapa perlawanan persahahatan dengan dua atau tiga pasukan dalam Malaysia Premier Futsal League (MPFL) sebelum saya umumkan senarai akhir 16 pemain.

Saingan di Changshu agak sengit menentang Denmark, Maghribi dan China,” katanya.

Sementara itu, pemain negara, Mohd Ridzwan Bakri yang muncul penjaring terbanyak dalam kejohanan di Chengdu akur mereka perlu meningkatkan lagi latihan bagi bersaing di peringkat antarabangsa.

“Selain kecergasan dan ketahanan fizikal, saya dapati corak permainan terutama tuan rumah China agak agresif. Ini yang perlu diambil serius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 6:01 PM