FATI beraksi ketika menentang Dortmund pada Liga Juara-Juara. — FOTO AFP
Reuters

JURULATIH Barcelona, Ernesto Valverde berdepan risiko pertelagahan antara kelab dan negara selepas beliau tidak mahu penyerang berusia 16 tahun, Ansu Fati dipanggil oleh Sepanyol bagi Piala Dunia B-17 bulan depan.

Persekutuan Bolasepak Sepanyol mesti menghantar skuad mereka kepada FIFA minggu depan dan Fati, yang muncul pemain termuda Barcelona membuat penampilan pada Liga Juara-Juara ketika seri 0-0 dengan Borussia Dortmund awal pagi Rabu lalu, menerima taraf kerakyatan Sepanyol semalam menjelang tarikh tutup.

Dilahirkan di Guinea-Bissau di Afrika Barat, Fati berpindah ke Sepanyol ketika berusia enam tahun.

Jurulatih pasukan kebangsaan Robert Moreno mengakui minggu lalu persekutuan itu melakukan sedaya mungkin bagi memastikan dia memilih bermain untuk negara angkatnya di peringkat antarabangsa.

Dia kini dijangka dinamakan dalam skuad bagi kejohanan di Brazil namun Valverde mahukan dia kekal di Nou Camp.


FATI (kanan) dan Lionel Messi berlatih di bandar sukan Joan Gamper, Barcelona, semalam. — FOTO EPA

“Tunggu dan lihat jika mereka memanggilnya. Mereka perlu menyediakan beberapa kertas kerja dan kami akan melihatnya,” katanya pada sidang media.

“Ia pasti satu tamparan buat kami kerana dia pemain yang banyak memberi sumbangan. Jika ia berlaku juga dan terlepas beberapa perlawanan, ia satu tamparan besar buat kami. Kami akan berhati-hati dan tunggu serta lihat apa yang berlaku.”

Kejohanan itu berlangsung dari 26 Oktober hingga 17 November depan, bermakna Fati akan terlepas tujuh aksi pasukan utama, termasuk pertembungan pertama Clasico musim ini menentang Real Madrid.

Ditanya jika beliau akan bercakap dengan pemain mengenai situasi itu, Valverde berkata: “Saya tidak fikir dia akan meminta nasihat saya. Saya juga tidak suka memberi nasihat, kerana hampir semua yang saya tahu dan belajar mengenai bola sepak adalah menerusi pengalaman.

“Setiap pemain patut membuat keputusan mereka sendiri. Dia seorang pemain muda, kami harus bimbang tapi kami tidak perlu melatah sekarang.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 12:59 PM