FEDERER (kiri) dan Zverev meraikan kejayaan menundukkan Sock-Shapovalov pada Piala Laver. — FOTO Reuters
AFP

ROGER Federer dan Alexander Zverev meraih kemenangan penting beregu ke atas Jack Sock dan Denis Shapovalov untuk membantu Eropah mendahului 3-1 ke atas Pasukan Dunia selepas hari pertama Piala Laver di Geneva, awal pagi tadi.

Pemain Switzerland berusia 38 tahun itu menggembirakan penyokongnya di samping Zverev, ketika beregu Eropah itu menundukkan Shapovalov dan Sock 6-3, 7-5 selepas set kedua yang dramatik.

“Kami pemain tenis berkelana ke seluruh dunia selama 10, 11 bulan setahun,” kata Federer kepada 18,400 penonton di Arena Palexpo.

“Tiada tempat yang lebih baik dengan bermain di negara sendiri, jadi ini malam yang amat istimewa buat saya.”


SOCK meraih mata tunggal Pasukan Dunia pada hari pertama. — FOTO EPA

Sock dari Amerika Syarikat terdahulu mengalahkan Fabio Fognini 6-1, 7-6 (7/3) dalam aksi perseorangan untuk membolehkan pelawat yang diketuai John McEnroe menyamakan kedudukan selepas kemenangan Dominic Thiem ke atas Shapovalov.

Namun bintang Greece, Stefanos Tsitsipas mengembalikan kelebihan Eropah dengan menewaskan Taylor Fritz 6-2, 1-6, 10-7 sebelum Federer dan Zverev berganding untuk membolehkan Eropah menguasai.

Pemain Eropah diketuai Bjorn Borg meluru ke arah Federer dan Zverev untuk meraikan rakan sepasukan mereka yang mematah servis pada permainan ke-11, dan juara 20 Grand Slam itu tenang melakukan servis untuk menamatkan perlawanan sekali gus menghalang super tie-break.

“Saya mempunyai dua jurulatih hebat, seorang di tengah gelanggang dan seorang lagi di tepi gelanggang (Nadal) memberitahu saya apa yang perlu dilakukan bagi setiap mata,” kata Zverev dari Jerman.


THIEM meraikan kemenangan ke atas Shapovalov. — FOTO AFP

“Ia sempurna. Saya tidak perlu berfikir seketika dan melakukan apa yang mereka beritahu saya.

“Mereka dua pemain terbilang sepanjang zaman dan saya akan mendengar nasihat mereka.”

Terdahulu, Thiem menyelamatkan tiga mata penamat sebelum mengalahkan Shapovalov pada aksi pertama.

Naib juara Terbuka Perancis dua kali itu bangkit daripada ketinggalan 7-9 pada super tie-break sebelum menang 6-4, 5-7, 13-11 ke atas pemain muda Kanada itu.

Eropah menang 13-8 pada edisi 2018 di Chicago.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 12:40 PM