DATUK Kenny Goh. FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


KETIKA beberapa kuasa besar badminton dunia sudah mula membuat perubahan drastik dan berfikir di luar kotak, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui mereka juga harus melakukan sesuatu yang berbeza.

Menurut Setiusaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, sebaik memulakan tugas awal bulan ini ramai yang mengharapkan beliau untuk cuba berfikir di luar kotak.

“China sudah menggunakan jurulatih luar, India pula mengambil kepakaran Korea Selatan dan Indonesia mengambil pendekatan menggunakan tenaga muda sejak tiga tahun lalu. Bagaimanapun, ini adalah jurulatih yang kita ada, kita perlu mengutamakan apa yang kita miliki,” katanya.

Kenny yang ditemui di Majlis Perasmian Taiwan Excellence menegaskan ia bukan satu tugas mudah untuk proses menukar jurulatih.

“Seperti saya katakan minggu lalu, semua pemain akan melalui proses penilaian pada 31 Disember. Ia sangat penting untuk menjayakan Projek 24. Bukan saja pemain malah jurulatih akan melalui proses penilaian.

“Kita harus melihat kejayaan yang dicipta jurulatih. Kita akan duduk bersama dan bincang mengenai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) mereka. Apa yang lebih penting sekarang ini ialah semua jurulatih memahami betapa pentingnya projek ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kenny mengakui masih lagi mempercayai kemampuan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik walaupun naib juara Seluruh England itu terkandas awal di Terbuka China.

“Mereka berada dalam perancangan jangka panjang dan sederhana BAM. Saya masih percaya dengan keupayaan mereka,” kata Kenny yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 9:17 PM