LUQMAN Hakim
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


BERITA penyerang skuad bawah 18 tahun negara (B-18), Luqman Hakim Shamsuddin dipancing kelab KV Kortrijk untuk musim depan menyaksikan laman Facebook pasukan Liga Divisyen Pertama Belgium itu ‘diserbu’ peminat bola sepak Malaysia.

Semakan mendapati setakat jam 5.30 petang tadi lebih 1,500 warganet memberikan pelbagai komen mengenai penyerang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berusia 17 tahun itu.

Selain komen positif tidak kurang memberikan lucu serta memuat naik gambar Luqman untuk dikongsikan kalangan netizen yang teruja dengan kejayaan sulung pemain Malaysia menyertai kelab itu.

Warganet dikenali sebagai Amirul Aiman dan Kamal Shah Muhamad misalnya meminta pihak berkaitan termasuk pengurusan kelab itu menjaga Luqman Hakim seperti anak sendiri supaya berjaya mencapai cita-cita bermain di Eropah.

“Jaga Luqman elok-elok ya. Jangan bagi dia ‘homesick’. Kami tidak hendak Luqman balik dan bermain di Malaysia.

“Kami hendak lihat anak Malaysia main (bola sepak) di luar negara. Ini, belum apa-apa lagi sudah rindu kampung, makanan dan teman wanita,” katanya.

Shafiq Amin pula menasihati Luqman Hakim supaya menjaga dirinya di negara orang dan tidak berlagak sombong.

Begitu juga Fakhrurrazi Azim yang mahu Luqman Hakim berusaha bersungguh-sungguh apabila mengikat kontrak dengan kelab Kortrijk kelak dan tidak terlalu memikirkan soal rindu kampung halaman, teman wanita dan makanan istimewa seperti budu.

Sementara itu, Kamarul Azim dan Muhammad Shahizan Nur membuat hantaran lucu apabila masing-masing menyatakan mula meminati kelab itu sejak dilahirkan dan mahu Hakim menjadi duta muka depan permainan Game FIFA 20.

Harian Metro semalam secara ekslusif melaporkan bukan liga utama Jepun sebaliknya liga utama Belgium bakal menjadi destinasi karier, Luqman Hakim apabila dijangka menyertai kelab KV Kortrijk musim depan.

Pemilik kelab berkenaan, Tan Sri Vincent Tan dilapor amat tertarik dengan kebolehan penyerang muda negara itu dan menawarkan kontrak profesional selama lima tahun kepadanya sekali gus muncul anak Malaysia pertama beraksi dalam liga utama di Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 7:08 PM