SASAR jadi juara berganda di Sepang.
Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PELUMBA sensasi negara, Md Zaqhwan Zaidi perlu memastikan dapat mengutip semaksimum mungkin mata pada Pusingan Enam kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) esok dan lusa untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu keseluruhan kelas ASB1000, Broc Parkes dari Yamaha Racing Team ASEAN.

Selepas lima pusingan, pelumba pasukan Idemitsu Honda Asia Dream Racing with SHOWA itu berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan mengumpul 153 mata, ketinggalan 35 mata di belakang Parkes.

Dia perlu berada di podium kemenangan dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukannya di carta keseluruhan bagi kelas ASB1000.

"Sasaran saya di Sepang adalah untuk menjadi juara berganda Perlumbaan 1 dan 2. Jika saya mampu melakukannya, maka saingan di Buriram nanti akan menjadi detik penentu siapa yang bakal menjadi juara keseluruhan musim ini.


ZAQHWAN dilihat mempamer aksi konsisten apabila menghuni kelompok lima pelumba terbaik sepanjang 10 perlumbaan sebelum ini.

"Berbanding pasukan lain, saya tidak boleh mengharapkan bantuan rakan sepasukan untuk strategi perlumbaan.

"Saya perlu bekerja keras untuk mencapai kejayaan kerana saya satu-satunya pelumba pasukan ini yang beraksi dalam kelas ASB1000 ini.

"Saya harus berusaha gigih dan lebih pantas daripada pencabar lain," katanya.

Meksipun hanya memenangi dua perlumbaan, Zaqhwan dilihat mempamer aksi konsisten apabila menghuni kelompok lima pelumba terbaik sepanjang 10 perlumbaan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:34 PM