SUBAHAN Kamal
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


SELEPAS membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Lelaki bagi edisi 2022 atau 2023, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengambil keputusan akan melakukan bidaan sama untuk Piala Dunia Wanita pula.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, ia adalah keutamaan badan induk itu ketika ini terutamanya untuk program skuad hoki wanita negara selepas mereka gagal untuk beraksi pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Andai ia menjadi kenyataan, maka skuad wanita negara akan melakar sejarah beraksi pada Piala Dunia pertama mereka.

“Bidaan akan dilakukan dalam tempoh terdekat dan kami sememangnya serius berhubung perkara ini.

“Jika tidak dapat menjadi tuan rumah untuk lelaki, kami akan cuba sedaya upaya melobi untuk Piala Dunia Wanita,” katanya.

Subahan berkata, langkah itu bagi memastikan skuad wanita negara terus konsisten mempunyai program sekali gus mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi Piala Dunia.

Justeru itu, Subahan berkata khidmat ketua jurulatih wanita, Muhammad Dhaarma Raj masih diperlukan dan beliau mungkin akan diberikan peranan lain selepas ini.

“Untuk tahun depan, kami merancang meletakkan Dhaarma sebagai jurulatih pasukan remaja wanita untuk persiapan ke Piala Asia yang juga sebagai kempen kelayakan ke Piala Dunia Remaja.

“Jika kami dapat memenangi bidaan ke Piala Dunia, maka peranan Dhaarma sangat penting kerana dia perlu mempersiapkan pasukan senior pula,” katanya.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) membuka semula tawaran bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia selepas beberapa negara mengumumkan menarik diri.

Negara yang berminat perlu menghantar bidaan mereka sebelum 31 Januari tahun depan dengan tarikh yang dicadangkan untuk Piala Dunia itu adalah pada 1 hingga 17 Julai 2022 atau 13 hingga 29 Januari 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:17 PM