JACKIE kini duduki ranking pertama Asia Tenggara dalam acara tukul besi.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


JAGUH baling tukul besi negara, Jackie Wong mahu menjadikan dua kejohanan di Korea Selatan sebagai pengukur akhir prestasi sebelum ke temasya Sukan Sea Filipina, November ini.  

Atlet yang menghuni ranking nombor satu Asia Tenggara itu akan berlepas ke Mokpo, minggu depan bagi menjalani latihan intensif dan menyertai kejohanan berkenaan.  

"Saya dijadualkan berada di Korea Selatan selama 50 hari termasuk mewakili negara dalam dua kejohanan pada awal dan hujung bulan depan.  

"Peluang itu akan menjadi medan terakhir saya untuk menilai keseluruhan prestasi balingan sebelum menghadapi Sukan Sea nanti," katanya kepada Arena Metro. 

Kata Jackie, sesi latihan dan penyertaan dalam kejohanan itu diharap turut membantu dirinya untuk kekal konsisten.  

"Saya perlu terus mengekalkan prestasi sedia ada dan memberi fokus untuk mempertahankan pingat emas di Filipina," katanya.  

Untuk rekod, atlet berusia 27 tahun dari Sarawak itu memecahkan rekod kebangsaan dengan mencatatkan balingan sejauh 68.22 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), bulan lalu. 

Pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Jackie meraih pingat emas buat kontinjen negara dan memperbaharui rekod temasya dwi tahunan itu selepas melakukan balingan sejauh 65.90m.  Atlet yang menduduki ranking ke-97 dunia itu memecahkan dominasi penguasaan pencabar utamanya dari Thailand, Kittipong Boonmawanyang meraih perak manakala gangsa milik Arniel Ferrera dari Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 2:18 PM