AKSI Fernandinho yang terjatuh ketika mengekang kemaraan pemain Shakhtar, Junior Moraes di Kharkiv, Ukraine, kelmarin. - FOTO Agensi
AFP

KETANGKASAN Fernandinho di bahagian belakang Manchester City melegakan Pep Guardiola tetapi kemampuan juara bertahan Liga Perdana yang dilanda krisis kecederaan itu bakal diuji skuad fizikal, Watford malam esok.

Kedua-dua kelab bertemu pada final Piala FA Mei lalu dengan City menang besar 6-0 untuk melengkap tiga kejuaraan sekali gus mencipta sejarah bola sepak Inggeris.

Tetapi empat bulan kemudian, skuad Guardiola yang lima mata di belakang Liverpool kini berdepan masalah serius di bahagian pertahanan apabila Aymeric Laporte dan John Stones tidak dapat beraksi akibat kecederaan.

Pemain Perancis, Laporte yang dianggap pertahanan kiri terbaik di Eropah oleh Guardiola terpaksa berehat sekurang-kurangnya hingga Februari selepas mengalami kecederaan lutut ketika menewaskan Brighton.

Stones pula yang bergandingan dengan Nicolas Otamendi turut mengalami kecederaan otot ketika latihan dan mungkin terpaksa direhatkan sehingga lima minggu.

Kegagalan mendapatkan pengganti bekas kapten, Vincet Kompany yang kembali ke Belgium mula dirasai Guardiola.

Bagaimanapun, Guardiola mengambil langkah bijak dengan mengalihkan posisi pemain tengah Fernandinho ke bahagian pertahanan tengah ketika menentang Shakhtar Donetsk dalam aksi Liga Juara Juara kelmarin yang dimenangi City 3-0.

"Itu sebabnya mengapa dia sangat penting kepada kami,” kata Guardiola selepas tamat perlawanan. “Kami tidak miliki banyak pilihan. Hanya dia yang kami ada dan dia membalas kepercayaan kami dengan cemerlang.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:31 AM