P Maniam ketika latihan Skuad Kebangsaan Bawah 15 di Padang C, MSN, Bukit Jalil.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


KETUA jurulatih skuad bawah 15 tahun negara (B-15), P Maniam boleh menarik nafas lega apabila 90 peratus pemain utama dijangka dapat diturunkan pada perlawanan menentang Laos di Stadium Nasional di Vientiane, Laos, malam esok.

Ini berikutan lima pemain yang mengalami masalah kesihatan termasuk tiga diserang selesema, kembali pulih dan mengikuti latihan petang tadi.

Dengan kesebelasan utama itu kata Maniam, akan memantapkan pasukan selepas menewaskan Kemboja, 7-0 dalam aksi pertama Kumpulan J kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-16 malam semalam.

“Saya dan barisan jurulatih yakin dengan 90 peratus pemain kesebelasan utama diturunkan, kita boleh meraih keputusan positif menentang Laos.

“Diharap pemain yang tidak diturunkan sebelum ini dapat memberikan persembahan terbaik selepas berehat.

“Kita tahu Laos bukan lawan mudah yang mana kita seri dalam kejohanan AFF B-15 sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Maniam berkata, beliau sudah menonton video perlawanan Jepun dengan Laos dan sudah mendapat ‘ilham’ untuk mencuri tiga mata daripada tuan rumah.

“Pasukan Jepun jelas berada di kelas tersendiri apabila menang 4-0. Laos pula dalam 15 hingga 20 minit awal memberikan tentangan sengit dan bermain dengan corak agresif di laman sendiri.

“Jadi pemain kita perlu bersedia dan mesti kemas dari segi hantaran dan serangan,” katanya.

Mengulas kemenangan ke atas Kemboja, Maniam berkata, beliau melakukan empat pertukaran dan pasukan berjaya mengawal permainan dengan berkesan.

“Awalnya saya jangka boleh menang dengan tiga atau empat jaringan. Syabas kepada pemain yang komited dan bersungguh-sungguh bermain hingga menang 7-0.

“Memang saya puas hati kerana pemain menampilkan pemainan yang kemas ada ‘build up’ dari bawah dan menghasilkan gol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 9:56 PM