BRIAN Fernandez.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.m

saifulaffendy@hmetro.com.m

“KEJOHANAN akan diteruskan dan tiada penangguhan.”

Demikian keputusan yang diambil Pengurus Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Brian Fernandez mengenai Kejohanan Piala Tun Abdul Razak yang tetap dilangsungkan bermula esok meskipun negara ketika ini berdepan dengan masalah jerebu.

Tegas Brian, pihaknya memahami situasi berkenaan dengan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mendapatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setiap hari.

“Tiada isu dibangkitkan oleh pengurus pasukan berhubung perkara ini. Setakat ini segala-galanya masih terkawal dan kami akan mengikuti perkembangan semasa keadaan jerebu pada setiap hari.

“Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, barulah kami akan menggunakan protokol tertentu,” katanya pada sidang media selepas tamat mesyuarat pengurus pasukan.

Jelas Brian, tiada keperluan untuk pihaknya menangguhkan kejohanan itu kerana saingan lain seperti Piala Malaysia juga masih berlangsung.

“Mereka juga tidak menangguhkannya dengan permainan lebih panjang iaitu 45 minit untuk setiap babak,” katanya.

Piala Tun Abdul Razak akan bermula esok sehingga 28 September dengan Perak tampil selaku juara bertahan Divisyen 1 lelaki dan dalam misi untuk meraih kejuaraan hatrik.

Kuala Lumpur pula mahu mempertahankan kejuaraan untuk wanita dengan kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:05 PM