KETUA jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong. FOTO Owee Ah Chun
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


KETUA jurulatih futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong menyasarkan skuadnya mencapai kedudukan di bawah kelompok 50 terbaik dunia tahun depan.

Menurutnya, peningkatan ranking penting dalam memotivasikan pemain untuk berusaha meningkatkan mutu permainan bagi bersaing dengan pasukan di kedudukan terbaik.

“Sebelum saya ambil alih (ketua jurulatih) ranking kita adalah 73. Dalam tempoh tiga tahun ini ia naik kepada 52.

“Namun sasaran saya ranking 48 atau 49 dunia tahun depan dan ia tertinggi boleh dicapai skuad negara.

“Untuk mencapai tahap itu, penting kita melihat persembahan pasukan futsal kebangsaan di kejohanan futsal Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) atau perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A,” katanya ketika ditemui di kem latihan pusat di Wisma Persekutuan Bolasepak Malaysia di Kelana Jaya di sini, hari ini.


SKUAD futsal negara menjalani latihan di Wisma FAM. FOTO Owee Ah Chun

Kedudukan skuad futsal lelaki negara naik satu anak tangga kepada 52 selepas menjuarai kejohanan jemputan empat penjuru ‘The Belt and Road Cup CFA International Futsal Tournament 2019’ di China, baru-baru ini.

“Cabaran sudah pasti sukar kerana perlu bersaing dengan pasukan lebih baik di ranking atas. Namun saya jadikan ia cabaran utama kepada pemain untuk membuktikan Malaysia mampu bermain futsal dengan baik.

“Saya juga mendapat sokongan yang baik daripada pihak pengurusan pasukan termasuk presiden FAM sendiri. Bukan mudah untuk mencapai semuanya namun kita akan berusaha sebaik mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 7:48 PM