ABRAHAM mampu buat Liverpool gigit jari. - FOTO AFP
Reuters

SKUAD muda Chelsea kendalian Frank Lampard berdepan ujian paling getir apabila menentang Liverpool di Stamford Bridge dalam aksi Liga Perdana, Ahad ini.

Kemenangan besar 5-2 ke atas Wolverhampton Wanderers menyerlahkan potensi dimiliki Tammy Abraham yang meledak hatrik dengan dua produk akademi mereka, Mason Mount dan Fikayo Tomori turut menemui sasaran.

Tetapi prestasi skuad Lampard pada awal musim tidak menentu apabila hanya mampu seri 2-2 menentang pendatang baharu Sheffield United dan tewas 0-1 kepada kelab Sepanyol, Valencia dalam aksi Liga Juara-Juara semalam.

Liverpool turut tewas 0-2 kepada Napoli di Itali tetapi skuad Juergen Klopp mendahului kedudukan Liga Perdana selepas memenangi semual lima perlawanan setakat ini.

Perlawanan menentang Liverpool adalah yang paling getir buat Chelsea sejak tewas 0-4 kepada Manchester United dalam aksi pembuka tirai dan Abraham yakin mereka mampu mencipta kejutan.

"Ia aksi yang menguji karakter kami dan peluang untuk kami melepaskan geram selepas tewas aksi Eropah,” katanya.

Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk yang melakukan kesilapan membolehkan Napoli menjaringkan gol kedua menegaskan kekalahan itu bukanlah ‘loceng amaran’ buat juara Eropah itu.

"Ia bukan amaran, kami mempamerkan prestasi cemerlang sejak awal musim ini jadi tak perlu panik,” katanya.

Liverpool seri di Stamford Bridge musim lalu hasil jaringan lewat Daniel Sturridge dan Chelsea menang 1-0 musim sebelumnya menerusi jaringan Olivier Giroud.

Juara bertahan Manchester City yang dimalukan Norwich City minggu lalu dijangka tiada masalah menewaskan Watford di Etihad, Sabtu ini.

Pasukan di tangga keempat, Manchester United berkunjung ke West Ham United manakala Tottenham Hotspur yang menduduki tangga ketiga berdepan misi sukar di Leicester City.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 1:01 PM