HERRERA menanduk masuk gol kedua Atletico Madrid. - FOTO AFP
Reuters

ATLETICO Madrid memastikan Juventus hanya pulang satu mata selepas bangkit mengikat gergasi Itali itu 2-2 dalam aksi pembukaan Liga Juara Juara Kumpulan D, awal pagi tadi.

Pemain tengah Mexico, Hector Herrera menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-90 menerusi tandukan kencang selepas pertahanan, Stefan Savic merapatkan kedudukan menerusi tandukan jarak dekat hasil sepakan percuma pada minit ke-70.

Kelab Sepanyol itu lebih menguasai permainan pada babak pertama tetapi Juve terlebih dahulu di depan pada minit ke-48 apabila Juan Cuadrado yang mendapat hantaran daripada pertahanan, Leonardo Bonucci merembat kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol, Jan Oblak.

Juara Itali itu menggandakan jaringan pada minit ke-65 hasil serangan balas pantas yang disempurnakan Blaise Matuidi hmenerusi tandukan selepas mendapat hantaran cantik Alex Sandro.

Bagaimanapun, Atletico yang dibantu sokongan padu penyokong di Wanda Metropolitano enggan menyerah kalah selain jurulatih, Diego Simeone terus membangkitkan semangat pemainnya.

"Perlawanan ini menjadi pengajaran untuk kami menghadapi aksi selepas ini. Ia membuatkan kami percaya kepada karakter pasukan,” kata Simeone kepada wartawan.

"Kami bermula dengan baik tetapi mereka berjaya membolosi gawang kami dua kali tetapi pemain tak berputus asa dengan terus melancarkan serangan.”

Atletico dan Juve berkongsi satu mata manakala Lokomotiv Moscow mengetuai Kumpulan D selepas menewaskan Bayer Leverkusen 2-1 di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:29 AM