PEMAIN City, Nicolas Otamendi dan pemain Shakhtar Donetsk, Junior Moraes berebut bola dalam aksi di Stadium OSK Metalist, Kharkiv. - FOTO AFP
AFP

PEP Guardiola menegaskan dia tidak pernah meragui kemampuan Manchester City menangani krisis kecederaan di bahagian pertahanan selepas pasukannya cemerlang memulakan kempen Liga Juara Juara menewaskan Shakhtar Donetsk 3-0, awal pagi tadi.

Pengurus City, Guardiola meletakkan pemain tengah Brazil, Fernandinho ke bahagian pertahanan tengah selepas kehilangan Aymeric Laporte dan John Stones akibat kecederaan.

Fernandinho tangkas di bahagian belakang ketika City tiada masalah mendominasi perlawanan dengan menjaringkan dua gol pada babak pertama menerusi Riyad Mahrez dan Ilkay Gundogan di Stadium Metalist.

Gabriel Jesus menjaringkan gol ketiga bagi memastikan perjalanan jauh mereka berbaloi dengan tiga mata di tempat lawan.

"Apabila anda menang, pengurus membuat keputusan betul tetapi apabila kalah, keputusan salah. Kami tewas sekali dalam tempoh lapan bulan tetapi kami tak meragui kemampuan pemain. Saya gembira menjadi pengurus mereka,” kata Guardiola.

"Kami bertahan dengan baik dan mencipta peluang. Kami tak miliki banyak pilihan di bahagian pertahanan. Hanya Fernandinho yang saya ada. Dia pemain bijak. Memiliki pengalaman luas dan berpersonaliti. Apa yang dikatakannya menjadi ikutan pemain lain dalam bilik persalinan. Dia sangat penting.”

Mahrez membuka tirai jaringan pada minit ke-24 selepas rembatan Gundogan terkena tiang dan bola muntah pantas ditolak masuk untuk jaringan pertamanya musim ini.

City menggandakan kelebihan pada minit ke-38 menerusi Gundogan yang meluru laju ke dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran Mahrez.

Jesus melengkapkan malam derita tuan rumah pada minit ke-76 selepas tenang menyempurnakan hantaran De Bruyne untuk jaringan keduanya musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:00 AM