AKSI Di Maria (dua dari kiri) menjaringkan gol pertama PSG di Paris. - FOTO AFP
AFP

ANGEL Di Maria muncul wira Paris Saint-Germain selepas menjaringkan dua gol ketika menewaskan Real Madrid 3-0 dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Ketiadaan Neymar dan Kylian Mbappe bukan penghalang buat juara Perancis itu mencipta permulaan sempurna dengan satu gol lagi menerusi Thomas Meunier.

Di Maria menewaskan penjaga gol Real, Thibaut Courtois menerusi rembatan jarak dekat pada minit ke-14 di Parc des Princes tetapi jaringan keduanya pada minit ke-33 menyerlahkan kehebatan pemain veteran Argentina itu.

Di Maria yang beraksi bersama Real empat tahun lalu dan memenangi Liga Juara Juara 2014 sebelum berpindah ke Manchester United meledak rembatan kencang dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Courtois.

Meunier melengkapkan kemenangan tuan rumah pada masa kecederaan selepas menerima hantaran Juan Bernat dalam kotak penalti tetapi malam itu jelas milik Di Maria yang cemerlang mengisi kekosongan ditinggalkan Mbappe dan Edinson Cavani yang mengalami kecederaan selain Neymar yang digantung permainan.

"Persembahan Di Maria bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kami tahu kemampuannya. Dia sangat cemerlang malam ini dan selalu tampak berbahaya,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel.

Kemenangan PSG itu juga sebagai membalas dendam selepas tewas kepada Real pada saingan 16 terakhir musim lalu. Mereka kekal tanpa kalah di tempat sendiri dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sejak 2004 dan dijangka tiada masalah menguasai Kumpulan A yang turut mengandungi Galatasaray dan Club Brugge yang seri 0-0, awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 7:16 AM