TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew (tengah) bersama Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe (kiri) serta dua legenda Manchester United, Ronny Johnsen (dua kanan) dan Liverpool, John Arne Riise (dua kiri) pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini. — FOTO Edmund Samunting
Ryan Stanley
sukanteam@nstp.com.my


LEGENDA Manchester United dan Liverpool akan berentap pada satu aksi persahabatan di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 20 November depan.

Perlawanan yang julung kali diadakan di negara ini dijangka dimeriahkan lagi dengan kehadiran nama besar yang pernah beraksi untuk dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

Antara legenda United yang akan beraksi termasuk Teddy Sheringham, Ronny Johnsen, Mikael Silvestre dan Wes Brown manakala pasukan legenda Liverpool dijangka menampilkan John Arne Riise, Danny Murphy, Emile Heskey, Peter Crouch dan David James.

Aksi persahabatan itu dianjurkan bersama oleh syarikat Firm Horizon Sdn Bhd dan Master Football Asia serta mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA).

Pengarah Urusan Firm Horizon Sdn Bhd, Raymond Fang berkata, syarikat itu beberapa kali mengadakan program hiburan seperti konsert di negeri itu namun ia kali pertama mereka menganjurkan perlawanan bola sepak.

“Kami juga mahu membuktikan Sabah sangat sesuai untuk menjadi gelanggang program besar sebegini dan saya harap orang ramai sama ada tua atau muda akan hadir beramai-ramai untuk memeriahkan aksi persahabatan itu nanti,” katanya.

Tiket bagi perlawanan itu kini sudah mula dijual dan boleh dibeli menerusi aplikasi Shopee dengan harga bermula RM150.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 12:18 AM