PEMAIN Selangor (jersi putih) meraikan kejayaan menundukkan Felda sekali gus mara ke suku akhir. — FOTO Farizul Hafiz Awang
Nik Sukry Ramli
niksukry@bh.com.my


JUARA 33 kali Selangor memastikan tempat ke suku akhir Piala Malaysia apabila menumpaskan Felda United 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.

Kemenangan itu membolehkan Red Giants muncul juara Kumpulan D dengan 10 mata diikuti Melaka di tangga kedua, dua mata di belakang. Felda terpaksa melupakan impian mereka di tangga ketiga dengan tujuh mata.

Skuad kendalian B Sathianathan yang tersentak dengan serangan bertali arus tuan rumah bagaimanapun memperoleh gol pertama hasil rembatan kencang penyerang import, Ifedayo Omosuyi pada minit ke-16.

Pelawat menambah gol kedua menerusi tandukan Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-73 yang menyudahkan hantaran lintang K Prabakaran.

Felda turut kehilangan pertahanan import mereka, Thiago Junior pada minit ke-87 apabila dia dilayangkan kad merah susulan menerima kad kuning kedua selepas melakukan rempuhan keras ke atas Syahmi Safari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 11:44 PM