SURYANI (kiri) bersama rakan sepasukan Johnathan Wong bersedia menghadapi Sukan SEA. — FOTO Owee Ah Chun
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


PRESTASI semasa atlet veteran, Nur Suryani Mohamed Taibi semakin menyerlah sekali gus menjadi sandaran pingat kontinjen negara pada Sukan SEA Filipina, hujung tahun ini.

Penembak berusia 37 tahun itu memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 50 meter rifle tiga posisi dengan 1,170 mata pada kejohanan Piala Tun Hanif Omar di Kuching, minggu lalu.

Ia memadam rekod 1,164 mata yang dilakukannya pada Kejohanan Menembak Terbuka Selangor, Julai lalu.

“Ia rekod dalam acara berlainan. Pada Sukan SEA saya akan menyertai acara 10m air rifle dan campuran saja.

“Namun saya sasar persembahan terbaik dan mengharapkan sesuatu yang lebih mantap berbanding Kuching,” jelasnya yang dijadual tampil buat kali ke-10 pada temasya dwitahunan itu.

Jelas penembak berpengalaman itu, dia memberi fokus kepada persiapan dan prestasi diri sendiri berbanding lawan dari negara lain.

Skuad menembak diletakkan sasaran untuk meraih dua emas pada edisi ke-30 temasya itu selepas beberapa acara kegemaran penembak negara tidak dipertandingkan tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 8:33 PM