ZIDANE memberi penerangan kepada pemainnya ketika sesi latihan di Paris. - FOTO AFP
GELAGAT Zidane ketika sidang akhbar di Parc des Princes, Paris. - FOTO EPA
Reuters

EDEN Hazard sedia membarisi kesebelasan utama Real Madrid berdepan Paris St Germain dalam aksi Liga Juara Juara awal pagi esok, menurut jurulatih, Zinedine Zidane.

Bintang Belgium itu menjadi pemain gantian ketika menewaskan Levante 3-2 Sabtu lalu selepas pulih kecederaan paha dialami sehari sebelum La Liga bermula.

"Saya fikir dia sedia beraksi selepas mampu melengkapkan semua sesi latihan,” kata Zidane ketika sidang akhbar menjelang aksi Kumpulan A di Parc des Princes.

"Semua orang tahu saya menaruh harapan tinggi kepada Hazard, dia pemain penting yang mampu mengubah keputusan dan mempunyai masa depan cerah bersama kami.”

Skuad Zidane bermula hambar dengan dua kemenangan dalam empat perlawanan La Liga serta dua kali seri dan dibolosi enam gol.

Mereka bermula garang ketika menentang Levante dengan menjaringkan tiga gol sebelum rehat tetapi dibolosi dua kali selepas rehat.

"Kami perlu beraksi dengan baik sepanjang 90 minit dan saya yakin kami akan menjadi lebih baik selepas ini,” kata pertahanan, Raphael Varane.

Kapten Real, Sergio Ramos tidak beraksi akibat penggantungan manakala pemenang Ballon d'Or, Luka Modric dan Isco mengalami kecederaan.

PSG turut mengalami nasib sama apabila Neymar tidak boleh beraksi angkara penggantungan perlawanan di samping Edinson Cavani dan Kylian Mbappe turut mengalami kecederaan manakala pemain baharu mereka, Mauro Icardi belum pasti dapat beraksi.

"Memang benar mereka kehilangan pemain penting tetapi PSG tetap kuat tanpa mereka,” kata Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 11:35 AM