GAYA Rodrigo selepas menjadi wira kemenangan valencia di Stamford Bridge. - FOTO Reuters
AFP

PENGURUS Chelsea, Frank Lampard berkata, skuadnya mendapat pengajaran keras dalam aksi Liga Juara-Juara selepas Valencia yang melupakan kemelut mereka menang 1-0 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Tuan rumah mendominasi perlawanan tetapi tiada sengat ketika menyerang selepas pemain tengah mereka, Mason Mount dikeluarkan pada awal babak pertama akibat kecederaan dan mereka dihukum 16 minit sebelum tamat permainan menerusi Rodrigo untuk tiga mata buat kelab Sepanyol itu.

Skuad Lampard seharusnya meraih satu mata tetapi sepakan penalti Ross Barkley melewati palang gol.

"Tanpa ragu-ragu kami sepatutnya mendapat keputusan lebih baik, sekurang-kurangnya seri. Gawang kami bolos hasil satu percubaan tepat mereka,” kata Lampard.

"Ini pengajaran keras Liga Juara Juara, aksi kami bagus tetapi malangnya kami kalah namun ada lima lagi perlawanan yang boleh mengubah nasib kami.”

Valencia tiba di London dengan masih lagi dihantui pemecatan jurulatih mereka, Marcelino minggu lalu. Beliau dua kali mengemudi kelab menduduki kelompok empat teratas La Liga dan Piala Raja Sepanyol sepanjang dua musim bersama kelab itu.

Penyokong mereka mendesak pemilik kelab dari Singapura, Peter Lim meninggalkan kelab itu dan beberapa pemain senior kesal dengan pemecatan Marcelino.

Los Che turut dibelasah 2-5 oleh Barcelona dalam aksi pertama kendalian Albert Celades, Sabtu lalu tetapi mereka mampu bangkit menewaskan Chelsea yang jelas kekurangan inspirasi selepas pemergian Eden Hazard.

"Kami gembira menang dan melakukannya di sini memang sukar,” kata Celades.

Walaupun pertahanan Chelsea dibolosi 11 kali dalam lima aksi pertama Liga Perdana, Valencia lebih gemar bertahan dan melancarkan serangan balas.

Rodrigo menjadi pemusnah pada minit ke-74 selepas menyambung hantaran sepakan percuma Dani Parejo dengan menolak bola masuk melepasi jangkauan Kepa Arrizabalaga.

Chelsea berpeluang menyamakan kedudukan selepas bola terkena tangan Daniel Wass empat minit sebelum tamat perlawanan namun rembatan Barkley terkena palang sekali gus permulaan buruk The Blues dalam Kumpulan H.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 7:36 AM