LLORENTE (kiri) menjaringkan gol kedua Napoli. - FOTO EPA
Reuters

JUERGEN Klopp kecewa dengan penyudah tumpul Liverpool selepas skuadnya yang memulakan misi mempertahankan trofi Liga Juara-Juara tewas 0-2 di Napoli hasil jaringan lewat di Stadio San Paolo, awal pagi tadi.

Dries Mertens menjaringkan penalti lapan minit sebelum tamat permainan selepas Andy Robertson mengasari Jose Callejon dan pemain gantian Fernando Llorente menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan.

Skuad Klopp muncul penyandang juara pertama memulakan kempen dengan kekalahan sejak AC Milan ditewaskan Ajax Amsterdam pada 1994 dan pengendali dari Jerman itu kesal dengan kegagalan pemainnya memanfaatkan peluang.

"Cukup mengecewakan kerana kami memiliki peluang,” katanya kepada BT Sport.

“Ia aksi terbuka dengan banyak serangan balas tetapi kami gagal menamatkan mereka dan ini menjadi masalah. Pada babak kedua aksi lebih sengit, kami berlari begitu juga mereka.”

Klopp tidak berpuas hati dengan penalti diperolehi tuan rumah selepas Robertson didakwa mengasari Callejon.

"Saya tak fikir ia penalti,” katanya. “Bagi saya jelas ia bukan penalti. Dia melompat sebelum berlaga tetapi kami tak boleh mengubahnya.”

Pemain Napoli, Hirving Lozano menanduk masuk dari jarak dekat pada awal babak pertama tetapi dibatalkan selepas didapati offsaid sebelum percubaan Sadio Mane dapat diselamatkan penjaga gol, Alex Meret selain tandukan Roberto Firmino tersasar sebelum rehat.

Penjaga gol Liverpool, Adrian cemerlang menafikan percubaan Mertens pada awal babak kedua manakala Meret menyelamatkan gawang Napoli daripada ditembusi rembatan Mohamed Salah.

Bagaimanapun, dua jaringan lewat Mertens dan Llorente memastikan tiga mata buat skuad Carlo Ancelotti yang turut menewaskan Liverpool di tempat sendiri pada peringkat kumpulan musim lalu.

“Kami bekerja keras dengan bertahan dan menyerang sebagai satu unit kerana bola sepak sekarang perlu menyesuaikan permainan dengan situasi dan saya fikir ia menjadi,” kata Ancelotti kepada Sky Sport Italia.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan E, Salzburg bermula cemerlang dengan membelasah Genk 6-2 ditempat sendiri.

Erling Haaland meledak hatrik buat juara Austria itu dan muncul pemain termuda ketiga melakukannya pada usia 19 tahun 58 hari dibelakang Raul, (18 tahun 113 hari) dan Wayne Rooney (18 tahun 340hari).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 7:03 AM