PEMAIN JDT, Syafiq Ahmad (kiri) gagal melepasi kawalan pemain UiTM, Amirul Ashraf Ariffin di Stadium UiTM, malam ini. — FOTO Bernama
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rekod bersih dalam saingan Piala Malaysia musim ini selepas menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.

JDT yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir selaku juara Kumpulan B dikejutkan dengan jaringan pembukaan UiTM menerusi Zulkifli Zakaria pada minit ke-38.

Namun, skuad Harimau Selatan yang merehatkan beberapa tonggak utama bangkit menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama hasil jaringan Adam Nor Azlin.

Fadhli Shas kemudian mengesahkan kemenangan JDT apabila meledak gol kedua pelawat pada minit ke-59.

Selaku juara kumpulan, JDT akan berdepan naib juara Kumpulan A, Terengganu FC pada suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 12:00 AM