QUARTARARO meraikan kejayaan di podium pada GP San Marino, Ahad lalu. — FOTO EPA
BERNAMA

DUA pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli yang menamatkan perlumbaan Grand Prix San Marino di tangga kedua dan kelima, kini berharap meneruskan memontum itu pada GP Aragon di Sepanyol hujung minggu ini.

Bagi Quartararo, dia memperoleh motivasi untuk meneruskan momentum positif di Litar Aragon selepas menampilkan persembahan mantap sekalipun tewas di tangan juara MotoGP dunia Marc Marquez pada pusingan terakhir GP San Marino.

“Sasaran pertama di Litar Aragon nanti adalah untuk sekali lagi berada di barisan depan semasa permulaan kerana kami memerlukan permulaan yang baik dan akan terus berusaha membuat yang terbaik, seperti biasa,” kata pelumba dari Perancis berusia 20 tahun itu dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh pasukannya hari ini.

Morbidelli pula berharap untuk mengulangi keputusan positif yang dilakukannya pada GP British dan San Marino.


QUARTARARO (kiri) dipintas Marquez pada selekoh terakhir di Litar Misano, Ahad lalu. — FOTO EPA

“Kami harap keadaan sama seperti yang kami lalui minggu lalu walaupun kami tahu litar Aragon mempunyai laluan lurus yang jauh, kerana kami berasakan sering dapat membuat pecutan lebih baik semasa di selekoh,” katanya.

“Saya pernah menang di sana (Litar Aragon) pada 2017 dalam kategori Moto2 dan saya pernah menaiki podium pada musim sebelumnya dan tahun lalu saya amat pantas,” kata pelumba dari Itali berusia 24 tahun itu yang masih belum menaiki podium dalam perlumbaan MotoGP musim ini.

Quartararo dan Morbidelli masing-masing kini berada di tempat ketujuh dan ke-10 dalam kedudukan MotoGP dengan mengumpul 112 dan 80 mata selepas 13 perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 10:36 PM