NEYMAR (tiga kiri) bergurau dengan rakan sepasukan ketika menjalani latihan di Camp des Loges, hari ini. — FOTO AFP
AFP

PENGGANTUNGAN Neymar daripada aksi Liga Juara-Juara kerana menghina pegawai perlawanan menerusi media sosial dikurangkan daripada tiga perlawanan kepada dua susulan rayuan, menurut Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), hari ini.

Pemain termahal dunia itu akan terlepas aksi menentang Real Madrid awal pagi Khamis ini serta Galatasaray dua minggu lagi mengikut penggantungan asal badan induk bola sepak Eropah, UEFA.

Bagaimanapun, dia kini boleh beraksi menentang kelab Belgium, Bruges pada 22 Oktober depan.

“Penimbang tara menerima rayuan dan mengurangkan penggantungan dikenakan UEFA terhadap Neymar Jr kepada dua perlawanan,” menurut CAS dalam satu kenyataan.

NEYMAR menjaringkan satu gol mengagumkan menentang Strasbourg, Sabtu lalu. — FOTO Reuters

Penyerang Brazil itu mengkritik pengadil dan pembantunya selepas PSG kecundang pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di tangan Manchester United Mac lalu yang mana dia menonton perlawanan di bangku penonton kerana cedera.

United dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas rujukan VAR, yang mana Marcus Rashford menyempurnakannya untuk menyingkirkan kelab Perancis itu.

“Ia memalukan. Mereka mempunyai empat orang yang tidak faham bola sepak menyaksikan ulang tayang rakaman secara perlahan di depan kaca TV,” tulis Neymar dalam akaun Instagram selepas kekalahan 1-3 itu.

Kelab Paris itu menanti kunjungan kelab gergasi Sepanyol tanpa trio utama serangan Neymar, Kylian Mbappe dan Edinson Cavani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 8:41 PM