FARAH makin seronok beraksi dengan East Grinstead.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


PENJAGA gol hoki wanita kebangsaan, Farah Ayuni Yahya membulat tekad untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana England bersama East Grinstead.

Pemain berusia 30 tahun dari Johor itu dijangka kembali menyertai East Grinstead bersama rakan senegara, Noraini Abdul Rashid hujung bulan ini.

“Sasaran saya masih sama iaitu menjadi juara liga utama hoki itu dan terus membantu East Grinstead berbekalkan pengalaman bersama skuad negara.

“Namun, saya terlebih dulu mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap kejohanan Piala Tun Razak sebelum berangkat ke England untuk meneruskan aksi musim kedua liga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran hijab sukan AL Sports di Petaling Jaya, hari ini.


FARAH (dua kanan) bersama tiga rakannya memperagakan hijab sukan AL Sports di Petaling Jaya, hari ini. — FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd din

Dalam pada itu, Farah mengakui menghadapi sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri bersama pasukan negeri terutama mengenai faktor taktikal.

“Ia bergantung kepada pengurusan negeri dan saya menghargai peluang diberikan ketua jurulatih (Muhammad Dhaarma Raj Abdullah) yang memberi pelepasan kepada pemain untuk beraksi di kejohanan luar,” katanya yang mewakili Johor.

Farah menyertai East Grinstead selepas mendapat pelepasan daripada majikannya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) September lalu.

Dia kemudian berjaya memikat pengurusan kelab itu apabila ditawarkan lanjutan kontrak untuk beraksi pada pusingan kedua Liga Perdana England meskipun baru mengharungi tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 7:43 PM