COUTINHO (tengah) diasak tiga pemain Leipzig dalam aksi Bundesliga, Sabtu lalu. - FOTO AFP
AFP

BAYERN Munich menyandarkan harapan kepada Philippe Coutinho dalam aksi pertama Liga Juara-Juara menentang Red Star Belgrade awal pagi Khamis ini.

Berdasarkan pengalaman beraksi tujuh kali di peringkat separuh akhir dalam tempoh sedekad lalu, bekas pemain tengah Liverpool itu diyakini mampu membawa Bayern ke peringkat lebih jauh di kejohanan berprestij Eropah musim ini.

Musim lalu mereka tewas pada saingan 16 terakhir kepada Liverpool dan dengan ketiadaan bintang veteran seperti Franck Ribery dan Arjen Robben tampak menyukarkan misi mereka musim ini.

Bagaimanapun, kehadiran Coutinho yang dipinjam dari Barcelona menyuntik semangat baharu mereka untuk kembali menguasai bola sepak Eropah.

"Bayern sentiasa mengharapkan jangkaan yang tinggi dan sudah tentu Liga Juara-Juara paling utama,” kata Coutinho ketika sesi perkenalan pada Ogos lalu.

Ramai yakin pemain berusia 27 tahun itu mampu mencetuskan kejuaraan pertama Eropah buat Bayern sejak 2013.

Awal bulan ini, rakan sepasukan di Brazil dan Manchester City, Ederson berkata kepada akhbar Jerman, Bild bahawa kehadiran Countinho meletakkan Bayern antara pasukan pilihan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 12:01 PM