BELOTTI (kanan) menjaringkan penalti ketika menentang Lecce di Stadium Olimpico Grande Torino, Turin. -FOTO EPA
AFP

‘PENDATANG’ baharu Serie A, Lecce mengejutkan Torino 2-1 awal pagi tadi sekali gus menafikan harapan skuad tuan rumah memintas Juventus buat kali pertama dalam masa empat tahun.

Pemain gantian, Marco Mancuso memastikan kemenangan pertama Lecce yang juga jaringan pertama mereka di Serie A sejak tujuh tahun lalu.

Pemain Brazil, Diego Farias meletakkan pelawat di depan pada minit ke-35 sebelum kapten Torino, Andrea Belotti menyamakan kedudukan menerusi penalti minit ke-58.

Mancuso muncul wira Lecce pada minit ke-73 bagi merencatkan peluang Torino mengasak pendahulu Serie A, Inter Milan.

Torino dinafikan penalti selepas reviu VAR tidak menyebelahi mereka yang memastikan Lecce meraih kemenangan pertama di tempat lawan sejak 2012.

Skuad Antonio Conte, Inter pasukan tunggal meraih sembilan mata daripada tiga perlawanan, dua mata di atas Bologna dan juara bertahan, Juventus.

Skuad Walter Mazzarri, Torino di tangga keenam dan Lecce tangga ketiga tercorot.

"Saya minta maaf kepada penyokong kerana malam ini kami bazir banyak peluang, sesuatu tak pernah berlaku sebelum ini,” kata Mazzarri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 8:37 AM