GAMBAR hiasan.
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


KUALA TERENGGANU: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH) dan Kelab Penyokong TFC mengaku terkejut dengan pendedahan Arena Metro mengenai Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang dikenal pasti antara 13 stadium di Malaysia yang tidak mempunyai sijil pematuhan kod (CCC) atau sijil layak menduduki (CF).

Kelab terbabit memuji langkah bijak dan berani Arena Metro mendedahkan perkara itu bagi mengelak insiden buruk berlaku sebagaimana runtuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak pada 2 Jun 2009 selepas setahun digunakan.

Kelab terbabit meminta pihak bertanggungjawab yang mengendalikan dan menguruskan stadium berusia 52 tahun itu segera melakukan pemeriksaan termasuk mendapatkan sijil layak menduduki bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Presiden PETEH, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamad Aris berkata, tindakan segera harus dilakukan pihak bertanggungjawab untuk mendapatkan CF bagi memastikan keselamatan penyokong dan pemain.

“Harus segera bertindak untuk dapatkan CF, usah ambil mudah dan pandang sebelah mata hal itu bagi memastikan keselamatan penyokong dan pemain serta barisan kenamaan terjamin. Kita tidak mahu peristiwa 10 tahun lalu yang berlaku di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh sebahagian bumbungnya berulang lagi.

“Malang tidak berbau, tapi nasib baik tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku kerana bumbung stadium itu runtuh pada sebelah pagi dan ketika itu pula tidak ada sebarang acara berlangsung. Jika tidak, kita tidak tahu nasib yang menimpa peminat jika berada di dalam stadium ketika itu.

“Kita perlu secepat mungkin cari jalan penyelesaian untuk dapatkan CF kerana kita tidak tahu struktur bangunan itu masih lagi selamat ataupun sebaliknya.

“Kami memuji langkah Arena Metro yang berusaha mendedahkan perkara ini, hal ini bukan untuk menakutkan peminat, tetapi sebagai langkah berwaspada sebelum kejadian tidak diingini berlaku kerana ini adalah tanggungjawab pemilik stadium bagi keselamatan,” ujar Dr Najmil.

Nada sama diluahkan Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Ariffin yang terkejut dengan pendedahan itu dan berharap tindakan secepat mungkin perlu dilakukan bagi memastikan peminat selesa dan selamat berada di dalam stadium.

“Situasi itu memang bahaya, jika tak berlaku tak apa, tapi jika berlaku siapa yang harus dipersalahkan? Sejujurnya saya terkejut dengar berita ini, selama ini pemain beraksi di stadium tiada CF, saya rasa penonton juga tidak tahu. Jadi, pihak berwajib perlu buat sesuatu yang bermanfaat untuk semua penonton dan ambik cakna, terima kasih Arena Metro yang dedahkan perkara ini demi kebaikan semua pihak,” ujar Isa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 6:00 AM