JUNE Wei. FOTO/NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann tetap percaya Cheam June Wei mampu merapatkan jurangnya dengan pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia.

Choong Hann yang memahami karier pemain itu sebelum ini terganggu berikutan masalah kecederaan berkata, June Wei mula menampakkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini.

"Kami tahu dia agak ketinggalan dan kini kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk membantunya.

"Nampaknya sudah ada peningkatan dipamerkan June Wei terutama di Terbuka Taiwan apabila berjaya mara sehingga ke suku akhir tetapi saya mahu dia mempamer aksi lebih konsisten.

"Apabila saya menyatakan mengenai konsisten, saya tidak melihatnya di kejohanan yang berstatus rendah," katanya.

Jelas Choong Hann, June Wei dilihat sudah mampu bersaing dengan kelompok 15 pemain terbaik dunia.

Musim ini June Wei hampir menewaskan juara dunia lima kali, Lin Dan dari China di Terbuka Thailand, Januari lalu serta pemain ranking kedua dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan di suku akhir Terbuka Taiwan dua minggu lalu.

Berdasarkan ranking semasa, Zii Jia kekal selaku pemain perseorangan pertama negara apabila menduduki ranking ke-13 dunia diikuti pemain profesional, Liew Daren (35) dan kemudian June Wei (67).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 8:45 PM