SKUAD B-14 SMK Taman Bukit Indah melakar kemenangan 3-0 ke atas SMK Putera, Kelantan
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


SMK Taman Bukit Indah, Johor mengesahkan status mereka selaku kuasa besar bola sepak kebangsaan apabila mendominasi final Piala Menteri Pendidikan Malaysia 100PLUS Bawah 14 (B-14) dan Piala KPM-FAM B-17 yang berlangsung di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Johor, Sabtu lalu.

Kejayaan cemerlang itu terhasil selepas skuad B-14 SMK Taman Bukit Indah melakar kemenangan 3-0 ke atas SMK Putera, Kelantan manakala pasukan 'abang' pula menundukkan SMK Seksyen 11 Shah Alam dengan 4-1.

Jelas pengendali B-14 SMK Taman Bukit Indah, Javi Jorda, kemenangan berkenaan bukan saja melengkapkan dominasi pasukan itu malah ia turut mempertahankan kejuaraan untuk kali kedua berturut-turut.

“Bukan tugas mudah untuk mempertahankan kejuaraan. Kami memerlukan bola dan melakukan seberapa banyak percubaan kerana mereka (SMK Putera) pantas dalam serangan balas.

“Cara permainan dan filosofi yang ada di dalam JDT dan pemain memberikan yang terbaik. Permainan berpasukan sepanjang musim ini juga ditahap yang terbaik,” kata Jorda.

Bagi jurulatih skuad B-17 pula, Jovi Carrascosa, pemainnya bermula agak perlahan namun bangkit pada babak kedua dengan aksi lebih bertenaga.

“Kami gagal bermain dengan baik dan melepaskan satu gol dibabak pertama. Pemain pemain mengubah mentaliti dan mula mencipta banyak peluang dan bermain dengan pantas.

"Empat gol yang dijaringkan adalah sesuatu yang menakjubkan untuk kami," kata Carrascosa.

Pingat dan trofi disampaikan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum, Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Zainal Abas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 7:54 PM