PASUKAN Malaysia Warrior raih dua gol menerusi jaringan Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkama dan Muhamad Amir Asyraf Yusnizam di Pusat Latihan Bolasepak Kebangsaan Jepun di Osaka. FOTO: Sportflex Malaysia
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


‘UBI muda’ Malaysia terus mencipta nama dan kali ini bumi Jepun berjaya ditawan apabila skuad bawah 12 (B-12) tahun negara menjuarai Piala Global J Green selepas menewaskan pasukan Ventforet Kofu dari Jepun 2-0.

Skuad B-12 yang diwakili pasukan Malaysia Warrior meraih dua gol menerusi jaringan Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkama dan Muhamad Amir Asyraf Yusnizam di Pusat Latihan Bolasepak Kebangsaan Jepun di Osaka, hari ini.

Melengkapkan hari gemilang Malaysia, Muhamad Azmer Masri Ahmad turut dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan dalam saingan membabitkan sejumlah 24 pasukan dari empat buah negara iaitu India, Thailand, Malaysia dan Jepun.

Menurut pengendali pasukan, Mohd Reszuan Mustapai, anak buahnya berjaya menyerap tekanan meskipun diberi tentangan sengit sepanjang aksi.

"Pada babak pertama kita agak tertekan dan kita bangkit balik untuk babak kedua. Pemain mengikut taktikal yang diterapkan dan akhirnya berjaya menyerap tekanan dan berjaya menjaringkan gol sekaligus menang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas Reszuan lagi, beliau berharap pemain-pemain dapat dikekalkan memandangkan skuad ini mempunyai potensi besar untuk menyerlah suatu hari nanti.

SKUAD bawah 12 (B-12) tahun negara juarai Piala Global J Green.

"Mungkin ada sebahagiannya akan ke AMD (Akademi Mokhtar Dahari). Kita harapkan ada pihak yang bertanggungjawab lakukan sesuatu terhadap pembangunan mereka.

"Mungkin NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara) ataupun FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) boleh buat sesuatu untuk pasukan ini sebab kita datang sini jadi johan dan bertemu dengan pasukan hebat antara yang ada nama di Jepun dan kita boleh beri tentangan serta boleh menyerap tekanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 7:29 PM