Skuad Negeri Sembilan mencari tiga gol di Alor Setar. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


PENGENDALI Negeri Sembilan (NS), Zaki Sheikh Ahmad berharap pasukannya mencipta hatrik pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A menentang Kedah dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam esok.

Dalam perlawanan sebelum ini, NS mencatat kemenangan pertama selepas menumpaskan Terengganu FC (TFC), 3-2, dalam aksi di laman sendiri pada 23 Ogos lalu, disusuli kejayaan menewaskan PKNS FC 3-1 di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

Menurut Zaki, kemenangan ke atas Kedah amat penting bagi mempertahankan maruah pasukan, biarpun misi layak ke suku akhir sukar dijangkakan.

"Saya hanya mahukan pemain tampil dengan kualiti persembahan yang membanggakan seperti ditunjukkan dalam dua perlawanan sebelum ini.

"Walaupun pertama kali beraksi di Stadium Darul Aman musim ini, namun ia bukan asing buat sebahagian besar pemain. Saya berharap mereka dapat mengekalkan rentak kemenangan yang dicapai sebelum ini.

"Peluang sama ada layak atau tidak ke suku akhir, itu kita berserah kepada Allah jika ada rezeki," kata Zaki ketika dihubungi, hari ini.

Kedah sudah layak ke suku akhir dengan satu lagi slot ke peringkat itu menjadi rebutan antara Negeri Sembilan dan TFC.

Namun kelebihan memihak kepada skuad Penyu yang sudah mengumpul sembilan mata berbanding NS yang mengumpul enam mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 6:15 PM