DZEKO (kanan) memeluk Mkhitaryan yang menjaringkan gol Roma ketika menentang Sassuolo di Rome. - FOTO EPA
Agensi

EDIN Dzeko berkata dia berharap Henrikh Mkhitaryan kekal di Roma untuk tempoh lebih lama selepas pemain itu menjaringkan gol pertama dalam aksi sulung bersama kelab Serie A itu.

Mkhitaryan tiba di ibu kota Itali itu dengan pinjaman jangka panjang dari kelab Liga Perdana, Arsenal sebelum jendela perpindahan Eropah ditutup.

Dia tak perlu menunggu lama untuk mencipta impak apabila menjaringkan gol pada minit ke-22 ketika membantu Roma menewaskan Sassuolo 4-2, awal pagi tadi.

Dzeko yang turut mencetak jaringan di Stadio Olimpico turut memuji prestasi mantap rakan sepasukannya itu.

"Saya sudah jangkakan prestasi dia. Saya kenal dia sebagai pemain yang hebat dan menambah sengat di bahagian serangan kami," kata Dzeko.

"Saya 100 peratus yakin dia mampu memberi sumbangan besar kepada kelab dan sangat gembira dengan perpindahannya.

"Selepas tamat aksi antarabangsa dengan dia menjaringkan dua gol ketika menentang kami, saya berkata kepadanya, lain kali anda perlu menjaringkan gol untuk Roma pula.”

"Dia pemain pro berwibawa malah saya mengenalinya ketika beraksi bersama Borussia Dortmund dan saya berharap dia kekal lebih lama di sini dan menjaringkan lebih banyak gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 12:50 PM