GAYA Jordan meraikan jaringan ketika menentang Alaves di Stadium Mendizorrotza. - FOTO AFP
AFP

SEVILLA mendaki ke puncak La Liga selepas meraih kemenangan tipis 1-0 di Alaves menerusi sepakan percuma menarik Joan Jordan malam tadi.

Skuad Julen Lopetegui meneruskan permulaan sempurna awal musim dengan kekal tanpa kalah dan melonjak satu mata mengatasi Atletico Madrid yang tewas 0-2 di Real Sociedad, Sabtu lalu.

Sevilla menerima kunjungan Real Madrid pada Ahad ini dalam pertembungan dua pasukan yang belum kalah.

"Ini bermakna tiada apa-apa (di puncak),” kata jurulatih Sevilla, Lopetegui yang pasukannya akan ‘terbang’ jauh ke Baku untuk menentang Qarabag dalam aksi pembukaan Liga Europa pada Khamis ini.

"Satu perkara sahaja. Ini menunjukkan kami beraksi dengan baik tetapi perlu terus tingkat prestasi sebelum pergi ke Baku yang sudah aksi di sana tidak semudah dijangka.”

Kekalahan itu yang pertama musim ini buat Alaves yang menduduki tangga ke-11 dalam carta liga.

Lopetegui yang menyertai Sevilla selepas dipecat dalam tempoh singkat oleh Sepanyol dan Real Madrid menyaksikan salah seorang pemain yang dibeli baru-baru ini muncul wira pasukan.

Pemain tengah, Jordan yang berpindah dari Eibar dengan harga 14 juta euro (RM64 juta) melencungkan bola dengan cantik pada minit ke-37 untuk jaringan keduanya musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 9:18 AM