MURIEL (kanan) meraikan jaringan bersama pertahanan dari Belanda, Hans Hateboer selepas menyempurnakan penalti di Stadium Luigi Ferraris, Genoa. - FOTO EPA
AFP

JARINGAN lewat Duvan Zapata membolehkan Atalanta mengatasi Genoa 2-1 dalam aksi Serie A awal pagi tadi dengan Roma turut mencatat kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan Sassuolo tetapi Lazio tidak bernasib baik apabila tewas di SPAL.

Pemain Colombia, Zapata meledak jaringan kemenangan pada minit ke-95 di Genoa sekaligus menghadiahkan tiga mata buat Atalanta yang layak ke Liga Juara-Juara selepas menduduki tangga ke tiga musim lalu. Mereka tewas kepada Torino minggu lalu.

Penalti penyerang Colombia, Muriel pada minit ke-64 meletakkan skuad dari Bergamo itu di depan tetapi kapten Genoa, Domenico Criscito menyamakan kedudukan selepas 91 minit.

Tetapi Zapata menyuntik keyakinan buat skuad kendalian Gian Piero Gasperini yang kini di tangga keenam liga menjelang kunjungan ke Dinamo Zagreb pada penampilan sulung Liga Juara-Juara minggu depan.

AC Milan di belakang Atalanta, juga dengan enam mata selepas penyerang Poland, Krzysztof Piatek menjaringkan penalti pada minit ke-68 untuk menang 1-0 mengatasi Verona yang bermain 10 orang.

Roma di tangga kelapan di bawah kendalian jurulatih baharu, Paulo Fonseca yang meraih kemenangan pertamanya, 4-2 mengatasi Sassuolo.

Tuan rumah mencipta empat gol sebelum rehat selepas Bryan Cristante, Edin Dzeko, Henrikh Mikhitaryan dan Justin Kluivert semuanya menembusi gawang lawan dalam tempoh 21 minit dengan Lorenzo Pellegrini melakukan tiga umpanan.

“Saya harap ini tiga mata ini akan menjadi perangsang untuk mencatat lebih banyak kemenangan selepas ini,” kata Fonseca.

“Saya sedar saya perlu menyesuaikan diri dengan dinamik dalam kejuaraan Itali.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 8:54 AM