ROBERTO Pereyra meraikan gol ketika menentang Arsenal.
Reuters

ARSENAL mensia-siakan kelebihan dua gol ketika Watford bangkit mengikat mereka 2-2 dalam aksi pertama kendalian pengurus baharu Quique Sanchez Flores untuk penggal keduanya di Vicarage Road awal pagi ini.

Kepulangan Flores menyusuli pemecatan Javi Garcia selepas empat perlawanan Liga Perdana Inggeris dilihat bagaikan tidak memberi kesan apabila Pierre-Emerick Aubameyang meledak dua gol pada separuh masa pertama.

Namun Tom Cleverley merapatkan jurang pada minit ke-53, selepas beberapa kecuaian berbahaya Arsenal dan Watford menerima ganjaran menerusi permainan yang lebih kemas apabila pemain gantian Roberto Pereyra memanfaatkan penalti pada minit ke-81 selepas dijatuhkan David Luiz.

Watford hampir saja mencatat kemenangan apabila sepakan lencong Gerard Deulofeu tersasar jauh dan kemudian rembatan Abdoulaye Doucoure pada saat akhir berjaya diselamatkan Bernd Leno selepas aksi serangan balas.

Kemenangan Arsenal wajar meletakkan mereka ke tangga ketiga namun menamatkan perlawanan hari itu di tangga ketujuh dengan lapan mata.

Watford masih tercari-cari kemenangan pertama musim ini dan kekal di tangga tercorot namun kini berjaya mengumpul dua mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 1:50 AM