FATEHAH Mustapa mendengar arahan John Beasley.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


KEJOHANAN Berbasikal Asia (ACC) di Korea Selatan pada bulan depan akan menjadi ujian sebenar kepada ratu trek negara, Fatehah Mustapa untuk mendapatkan kembali kepercayaan ketua jurulatih, John Beasley.

Fatehah yang berdepan dengan masalah prestasi digugurkan Beasley dari skuad ke Sukan Asia 2018 selain dikenakan pemotongan elaun oleh Majlis Sukan Negara (MSN) namun kini sudah mula mempamerkan peningkatan.

Selepas beraksi dengan baik di Kejohanan Trek Asia Tenggara dan Kejohanan Trek Kebangsaan di Velodrom Nasional Malaysia bulan lalu, atlet berusia 30 tahun itu meneruskan persembahan yang konsisten pada Piala Trek Asia di India.

Dia meraih emas dalam acara keirin selain perak dalam pecut individu pada saingan yang berlangsung di Velodrom Kompleks Sukan Indira Ghandi di New Delhi pada minggu lalu.

“Fatehah semakin meningkat berbanding beberapa tahun kebelakangan ini namun dia hanya boleh dinilai di Korea bulan depan. Tidak ramai pelumba handalan yang menyertai kejohanan disertainya itu.

“Bagaimanapun saya gembira dan bangga apa yang dicapainya tahun ini. Ia kelihatan dia sudah kembali menikmati sukan ini, sesuatu yang hilang sejak beberapa tahun lalu,” jelas Beasley.

Pengendali dari Australia itu mengakui banyak perkara yang perlu dilakukan sekiranya Fatehah yang pernah beraksi di Olimpik 2012 itu mahu kembali sebagai pencabar di pentas dunia.

“Jadi lihat apa yang mampu dilakukannya di Korea Selatan nanti sebelum penilaian dilakukan untuk menentukan kedudukan kariernya,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 8:41 PM