Beckham (kiri) mahu Messi beraksi di Amerika Syarikat. FOTO REUTERS
Agensi

DAVID Beckham meningkatkan usaha untuk mendapatkan tandatangan Lionel Messi bagi menyertai kelabnya Inter Miami FC yang beraksi dalam Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat.

Untuk itu, Beckham menghantar pakar perundingnya, Paul McDonough ke London untuk berbincang dengan bapa superstar Barcelona itu, Jorge.

Bekas pemain Manchester United dan England itu meletak sasaran tinggi untuk menjayakan francais barunya dan mahu Messi menjadi sebahagian daripadanya.

Inter Miami akan menyertai Liga Amerika musim depan biarpun berdepan masalah mencari stadium impian mereka.

Beckham dan McDonough yang bergandingan mencipta kejayaan terhadap Atlanta United, terus mencari jalan untuk mendapatkan pemain terbabit yang begitu diinginkan mereka.

Laporan berita menyebut Messi yang juga menggunakan bapanya itu sebagai penasihat boleh meninggalkan Barca secara perpindahan percuma pada musim panas depan membuatkan McDonough mengadakan perbincangan untuk usaha itu.

Messi Sr tahu keseluruhan dunia bola sepak berminat dengan kemungkinan anaknya untuk bermain dengan kelab lain.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat sudah tentu menjadi destinasi pada satu peringkat kariernya.

Beckham terbuka dengan idea ‘berkongsi’ Messi jika kata persetujuan dapat diselesaikan sebagaimana persetujuan sama dicapai ketika dia bersama LA Galaxy sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 7:45 PM