Wee Wern (kiri) mahu bangkit pada Terbuka Malaysia. FOTO NSTP
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


JAGUH skuasy wanita negara, Low Wee Wern bertekad terus bangkit menebus kekecewaan dan memberi fokus menghadapi Terbuka Malaysia hujung bulan ini.

Pada Terbuka Hong Kong, semalam, pemain berusia 29 tahun dari Pulau Pinang itu terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada pemain Hong Kong, Annie Au.

Dia terpaksa akur dengan kehebatan pemain ranking ke-10 dunia itu dalam pertarungan selama 42 minit dengan empat set 5-11, 11-6, 9-11, 6-11.

Wee Wern bagaimanapun mengakui berpuas hati dengan pencapaiannya itu selepas mengharungi minggu mengecewakan di Terbuka Shanghai sebelum ini.

"Saya agak bimbang kesan kecederaan di lutut yang dialami ketika di Shanghai tempoh hari akan menjejaskan permainan saya di Hong Kong.

"Namun, Annie memang pemain berpengalaman dan saya perlu masa untuk meningkatkan prestasi termasuk menewaskannya seperti pernah dilakukan ketika saya di ranking kelima dunia sebelum ini," katanya kepada Arena Metro, hari ini.

Kata Wee Wern, dia akan kembali ke tanah air untuk menjalani rawatan kecederaan dialaminya yang masih tidak menentu.

"Bukan mudah untuk kembali cergas selepas menjalani tiga pembedahan sebelum ini namun saya gembira dengan perkembangan sedia ada dan akan bekerja keras memperbaiki prestasi menjelang Terbuka Malaysia nanti," katanya.

Untuk rekod, Wee Wern sebelum ini pernah tumpas dua kali berturut-turut kepada Annie dalam perlawanan akhir Terbuka Macau dan separuh akhir Kejohanan Individu Asia pada Mei lalu.

Pemain ranking ke-23 dunia itu bagaimanapun kembali menemui rentak kemenangan apabila muncul juara kejohanan skuasy Kebangsaan 2019 selepas menumpaskan rakan senegara, Rachel Mae Arnold.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 3:25 PM