LEWANDOWSKI (tengah) menyumbat gol pembukaan mengatasi penjaga gol RB Leipzig, Peter Gulacsi. — FOTO AFP
AFP

PENJAGA gol Bayern Munich, Manuel Neuer menyatakan pasukannya bernasib baik tidak kalah selepas RB Leipzig mengikat mereka 1-1 untuk kekal di puncak Bundesliga Jerman, awal pagi tadi.

Leipzig terselamat daripada asakan bertali arus pada babak pertama dan menyamakan kedudukan menerusi penalti Emil Forsberg untuk mengecewakan Bayern dan mencetus harapan bagi perebutan kejuaraan tiga penjuru musim ini.

“Kami melakukan terlalu banyak kesilapan pada babak kedua. Kami mungkin kalah,” kata Neuer kepada Sky, selepas melakukan beberapa tindakan penyelamat mengagumkan pada babak kedua yang menarik.

Keputusan seri itu meninggalkan Bayern di tangga ketiga, manakala Leipzig kini satu mata di depan Borussia Dortmund, yang melonjak ke tangga kedua dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Bayer Leverkusen lewat malam tadi.


FORSBERG (kanan) menyamakan kedudukan menerusi penalti. — FOTO AFP

“Masih terlalu awal untuk menganggap kami sebagai pencabar kejuaraan, tapi memang seronok untuk berada di puncak carta,” kata Forsberg.

Penyerang Bayern, Robert Lewandowski hanya memerlukan tiga minit untuk meledak gol pertama ketika Bayern mendominasi saingan babak pertama di Leipzig.

Namun walaupun menguasai pegangan bola hampir dua kali ganda dan sekali ganda dari segi percubaan, Bayern menuju bilik persalinan terikat selepas Forsberg menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama.

Bayern, yang gagal mendapat sepakan penalti susulan VAR 10 minit terdahulu, tergamam dan membenarkan Leipzig kembali bersaing selepas rehat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 12:19 PM