SENSI (kiri) melakukan tandukan terbang untuk menjaringkan gol kemenangan Inter Milan, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

INTER Milan merampas semula kedudukan teratas Serie A Itali selepas menang 1-0 ke atas Udinese yang beraksi 10 pemain awal pagi tadi manakala Juventus hilang tiga pemain kerana kecederaan ketika seri 0-0 di Fiorentina sekali gus menyukarkan persiapan menjelang aksi pembukaan Liga Juara-Juara minggu depan.

Tandukan terbang Stefano Sensi sudah cukup memastikan sembilan mata maksimum buat Inter kendalian Antonio Conte menjelang aksi pembukaan Eropah menentang Slavia Prague di San Siro, awal pagi Rabu ini.

Namun ketika Maurizio Sarri melakukan penampilan sulung di bangku simpanan Juventus selepas pulih daripada radang paru-paru, juara Itali itu menunjukkan tanda kelemahan sebelum kunjungan ke Atletico Madrid.

Juventus ketinggalan dua mata di belakang Inter Milan selepas tiga perlawanan dan mungkin boleh diatasi musuh setempat Torino yang bertemu Lecce di gelanggang sendiri awal pagi Selasa ini.


RONALDO (kiri) dibentes pemain Fiorentina, Franck Ribery pada aksi di Stadium Artemio-Franchi, Florence. — AFP

Napoli pula memanaskan badan sebelum bertemu juara Eropah, Liverpool, awal pagi Rabu ini dengan dua gol Dries Mertens memastikan kemenangan 2-0 ke atas kelab bermasalah Sampdoria, untuk melonjak ke tangga keempat liga.

“Kami tidak berhak memenangi perlawanan ini,” kata Sarri ketika bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dan rakan sepasukannya kekurangan inspirasi serta bergelut secara fizikal.

Juara bertahan Serie A lapan kali itu sudah terlepas khidmat kapten yang mengalami kecederaan Giorgio Chiellini, Mattia De Sciglio dan Marko Pjaca.

Pemain Brazil, Douglas Costa mengalami kecederaan hamstring beberapa minit perlawanan di Florence, diikuti Miralem Pjanic dengan masalah otot dan Danilo kemudian mengalami kekejangan dalam cuaca panas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 11:23 AM