NEYMAR (kanan) menjaringkan gol tunggal kemenangan di Parc des Princes, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

NEYMAR tidak mempedulikan cemuhan ketika dia kembali beraksi buat Paris Saint-Germain dengan gol kemenangan mengagumkan pada masa kecederaan awal pagi tadi, kemudian menegaskan ia masa untuk meneruskan kehidupan selepas kemelut perpindahan semula ke Barcelona tidak menjadi kenyataan.

Pemain termahal dunia itu diejek dan dihina oleh segelintir penyokong PSG pada perlawanan Ligue 1 menentang Strasbourg di Parc des Princes.

Ia kelihatan seperti satu-satunya cerita pada aksi itu hinggalah minit kedua masa kecederaan apabila ketika perlawanan terikat tanpa jaringan, penyerang Brazil itu menyudahkan hantaran silang Abdou Diallo dengan sepakan akrobatik yang terkena palang gol sebelum masuk bagi memastikan kemenangan 1-0.

Ia satu gol menakjubkan dan menjadi peringatan kenapa PSG memecah rekod dunia apabila membayar 222 juta euro (RM1.03 bilion) untuk mengikat Neymar pada 2017. Ia juga membolehkan mereka mendahului dua mata di depan Rennes di puncak Ligue 1.


NEYMAR (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. — FOTO EPA

“Saya mahu menjelaskan saya tiada apa-apa terhadap penyokong, tiada apa-apa menentang Paris Saint-Germain sebagai kelab. Setiap orang tahu saya mahu pergi. Saya tidak akan memberikan butiran terperinci mengenai apa yang berlaku,” katanya selepas perlawanan.

“Ia masa untuk memulakan babak baharu. Hari ini saya pemain Paris Saint-Germain dan saya akan memberikan segala-galanya di tengah padang.”

Dia tidak bermain buat kelabnya sejak Mei lalu dan diketepikan bagi empat aksi pertama kempen kerana ketidaktentuan mengenai masa depannya.

Bagaimanapun, selepas terpaksa beraksi musim ketiga di Perancis, dia diturunkan dalam kesebelasan utama oleh jurulatih Thomas Tuchel dan diejek ketika namanya disebut sebelum perlawanan. Dia juga kerap menjadi siulan penyokong ketika memegang bola.


PENYOKONG Ultras Paris memasang kain rentang ‘20 bilion untuk menyertai Messi, tiada pantai di Paris’ ditujukan kepada Neymar. — FOTO EPA

“Ia bukan kali pertama saya diejek oleh setiap orang,” akui Neymar.

“Saya bermain di Brazil jauh dari kampung halaman, saya dicemuh. Saya pernah beraksi pada final dan diejek, saya bermain di sini di Perancis, beraksi di gelanggang lawan, saya juga dimaki hamun.

“Ia menyedihkan tapi saya tahu, dari sekarang, setiap aksi adalah perlawanan di gelanggang lawan.”

Satu kain rentang ditulis dalam bahasa Portugis, ditujukan kepada bapa Neymar yang juga ejennya: “Neymar Senior, jual anak lelaki anda di Vila Mimosa.”

Vila Mimosa satu daerah di Rio de Janeiro yang terkenal dengan kegiatan pelacuran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 10:58 AM