Pemain Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (kiri) meraikan jaringan kedua Perak. FOTO Muhaizan Yahya
Farah Suhaidah Othman
sukanteam@nstp.com.my


PERAK melakar kemenangan di laman sendiri selepas menewaskan Pahang 3-1 dalam aksi kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan skuad The Bos Gaurus mengutip tiga mata penuh dan berada di landasan tepat untuk mengiringi Pahang melangkah ke pusingan seterusnya.

Kekalahan pasukan pelawat itu bagaimanapun tidak mencalar kedudukannya sebagai juara kumpulan dengan mengutip 12 mata dalam kedudukan carta.

Pada aksi perlawanan itu, skuad kendalian Mehmed Durakovic mendahului pasukan pelawat menerusi jaringan Ronaldo da Silva yang menyambar hantaran Mohd Nor Hakim Hassan pada minit ke-31.


Pemain Perak, Mohd Nor Hakim Hassan (kanan) cuba melepasi halangan kapten Pahang, Matthew Thomas Davies dalam saingan Piala Malaysia.

Pahang nyaris menyamakan kedudukan apabila mendapat peluang mudah pada minit ke-38 di hadapan gol namun gagal dimanfaatkan oleh Lazarus Kaimbi apabila tendangannya tersasar di sebelah kanan gawang gol.

Bagaimanapun, Perak terus memburu jaringan dengan mengatur serangan dan hasilnya diperolehi menerusi tandukan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi hasil sepakan percuma oleh Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-44.

Bersambung babak kedua, skuad The Bos Gaurus tidak menunggu lama untuk terus di hadapan dengan jaringan kedua Muhammad Shahrel Fikri pada minit ke-47 menerusi tandukan menerjah ke gawang gol.

Skuad Tok Gajah akhirnya memecah kebuntuan apabila rembatan Kaimbi yang tidak dikawal menerjah masuk ke gawang gol menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairil Nizam pada minit ke-85 sekali gus menjadikan kedudukan 3-1 kekal hingga ke minit penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 11:24 PM