Pelumba TSC yang mengambil bahagian di perlumbaan Tour of China. FOTO Ihsan TSC
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


TEAM Sapura Cycling (TSC) muncul pasukan Asia Terbaik di Tour of China I, Hunan, China yang berakhir hari ini.

Gandingan Mohamad Saari Amri Abd Rasim, Muhamad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri, Muhsin Al Redha Misbah, Muhammad Saiful Adlan Mohd Shukri dan Akmal Hakim Zakaria bersama-sama pelumba import dari Turki, Ozgur Batuhan berjaya melonjakkan TSC selepas mengharungi enam peringkat perlumbaan.

Mereka mengumpul masa 43 jam 05 minit 56 saat pada saingan berstatus 2.1 dalam kalendar Jelajah Asia selepas berakhir peringkat keenam dari Ningyuan ke Jiuyi Mountain National Forest Park sejauh 131.8 kilometer.

Mitchelton-BikeExchange menduduki tempat kedua dengan 22 saat manakala Vino-Astana Motors ketiga apabila mengumpul 43 jam 12 minit 13 saat pada saingan yang membabitkan 21 pasukan itu.

Principal TSC, Mohd Sayuti Zahit gembira dengan perkembangan anak buahnya yang berjaya membuktikan kemampuan pada perlumbaan yang dianggap mencabar itu.

"Walaupun dibarisi pelumba muda, mereka berjaya memberikan saingan yang hebat kepada pasukan Asia yang lain dan pada hari terakhir berjaya merampas kedudukan pertama untuk muncul pasukan terbaik Asia.

"Saya pasti kemenangan ini akan membakar dan memberi lonjakan semangat kepada pelumba muda mengukir lebih banyak kejayaan pada perlumbaan akan datang," katanya.

Turut bersaing di Tour of China I adalah satu lagi pasukan benua negara, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) dengan dua pelumbanya, Mohd Harrif Saleh (peringkat pertama) dan Artem Ovechkin (peringkat kedua) berjaya menduduki tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 8:39 PM