MESSI (kanan) dan Suarez selepas perlawanan Trofi Joan Gamper menentang Arsenal, Ogos lalu. — FOTO Reuters
Reuters

LIONEL Messi terlepas aksi La Liga menentang Valencia awal pagi esok selain kunjungan Barcelona ke Dortmund bagi pertemuan Liga Juara-Juara Selasa ini ketika dia masih belum pulih daripada kecederaan betis Ogos lalu, menurut jurulatih Ernesto Valverde.

Awalnya penyerang Argentina itu dijangka diketepikan hanya beberapa minggu namun dia masih belum turun beraksi pada kempen kali ini.

Ketika ketiadaannya, juara liga iu bermula hambar pada awal musim, kalah aksi pembukaan di tangan Athletic Bilbao sebelum hanya meraih empat mata daripada aksi menentang Real Betis dan Osasuna.

Mereka di tangga kelapan carta, lima mata di belakang pendahulu liga Atletico Madrid selepas tiga perlawanan.


SUAREZ (tiga kiri) berbual dengan Valverde ketika sesi latihan semalam. — FOTO EPA

“Pada mula pemulihannya agak baik. Tapi lukanya berdarah sedikit dan bermakna kami perlu merehatkannya lagi,” kata Valverde pada sidang media.

“Dia masih dalam proses pemulihan. Saya tidak mahu mengharapkan apa-apa, tapi sukar buatnya bagi perlawanan Selasa ini.

“Hakikat dia tidak bermain penting buat kami. Saya tidak nafikan dia tonggak utama.”

Ketika Valverde turut tidak mendapat khidmat Ousmane Dembele, Luis Suarez kembali berlatih dan dijangka mengemudi jentera serangan di samping Antoine Griezmann.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 7:54 AM