KHAIRUL Anuar Mohamad.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


BARISAN pemanah recurve negara pulang tanpa sebarang emas apabila harapan tunggal menerusi gandingan Khairul Anuar Mohamad dan Nur Aliya Ghapar ditewaskan lawan dari China di siri ketiga Piala Asia yang berlangsung di Clark City, Filipina, hari ini.

Mereka yang bersaing dalam acara campuran mempamerkan saingan sengit sebelum kecundang pada set pertama dengan perbezaan satu mata berbanding lawan Zhang Xinyan dan Qi Xiangshuo.

Kebangkitan di set kedua dengan kemenangan 38-36 untuk mengikat kedudukan 2-2 masih belum mencukupi apbila lawan mempamerkan aksi konsisten untuk menang di set ketiga dan keempat dengan keputusan akhir 6-2 bagi meraih emas.

Malaysia akur dengan perak manakala gangsa menjadi milik Bangladesh yang menewaskan Taiwan 5-1.

Terdahulu Khairul Anuar yang turun bergandingan bersama Muhammad Akmal Nor Hasrin dan Muhamad Zarif Syahir Zolkepeli meraih gangsa dalam acara berpasukan apabila menewaskan Taiwan 5-4 dengan pemenang ditentukan menerusi shoot-off.

Turut meraih gangsa adalah Haziq Kamaruddin dalam acara individu selepas menewaskan lawan dari China, Ta La 6-4.

Malaysia bagaimanapun berpeluang meraih emas esok apabila barisan pemanah compound negara akan turun beraksi dalam empat final.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 6:56 PM