ABRAHAM (kiri) menjaringkan gol pembukaan menentang Sheffield United di Stamford Bridge. — FOTO premierleague.com
AFP

PERMULAAN memberangsangkan Tammy Abraham awal musim ini seiring dengan kepercayaan penuh pengurus Chelsea, Frank Lampard terhadap penyerang muda itu.

Cabarannya kini buat pemain berusia 21 tahun itu adalah untuk membuktikan dia boleh mengekalkan persembahan menyengat di bahagian serangan yang sudah lama hilang sejak Diego Costa meninggalkan Stamford Bridge.

Selepas permulaan hambar dalam dua aksi pertama Liga Perdana Inggeris, Abraham akhirnya menemui sentuhan gol, menjaringkan dua gol ketika menentang Norwich City dan Sheffield United.

“Hari ini apabila anda bercakap mengenai karakter dan keghairahan untuk bermain dengan kelab ini, Tammy salah seorang daripadanya,” kata Lampard selepas dua gol Abraham menentang Norwich.


LAMPARD juga boleh mengharapkan sentuhan pemain muda Mason Mount (tengah). — FOTO premierleague.com

“Dia menunjukkannya setiap hari. Dia boleh menjadi lebih bagus dan lebih baik.”

Lebih penting, dari sudut pandangan Lampard, penyerang itu mengekalkan rentaknya dalam liga utama selepas memperagakan potensinya dalam Liga Kejuaraan ketika dipinjamkan di Bristol City, Swansea dan Aston Villa.

Penyerang nama besar gagal menyerlah di Stamford Bridge sejak kebelakangan ini dengan Alvaro Morata dan Gonzalo Higuain, ternyata gagal memenuhi kekosongan ditinggalkan Costa dan pemergian mereka pada musim panas lalu tidak mengejutkan.

Dua jendela perpindahan pemain bagaimanapun bermakna mereka tidak boleh digantikan, meninggalkan Abraham dan Olivier Giroud untuk merebut posisi penyerang utama dengan pemain kebangsaan Belgium, Michy Batshuayi di tangga ketiga dalam senarai.


GIROUD (kiri) ketika beraksi bersama Perancis menentang Andorra pada kelayakan Euro 2020, kelmarin. — FOTO Reuters

Giroud menegaskan dia tidak berhasrat untuk duduk diam dan menerima peranan sebagai pembantu kepada pemain yang muda 11 tahun daripadanya.

“Sudah tentu tidak,” kata pemain kebangsaan Perancis itu kepada Le Figaro minggu ini apabila ditanya jika dia sedia menjadi penyerang nombor dua.

“Saya mempunyai sasaran peribadi. Saya berada di sini untuk membantu generasi masa depan, tapi masa untuk bersara belum tiba lagi.

“Saya masih dahagakan kejayaan dan mempunyai banyak cita-cita yang belum dipenuhi. Saya tidak mahu menjadi penyerang nombor dua Chelsea, itu sudah pasti.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 11:26 AM