LIVERPOOL membenam Norwich 4-1 pada perlawanan pertama musim ini. — FOTO premierleague.com
AFP

PERMULAAN cemerlang Liverpool pada awal musim Liga Perdana Inggeris membuatkan pencabar mereka tercungap-cungap dan mereka dijangka mengekalkan permulaan sempurna menentang Newcastle, malam esok.

Anak buah Juergen Klopp meraih inisiatif awal dalam Liga Perdana dengan empat kemenangan berturut-turut untuk mendahului dua mata di depan pasukan tangga kedua Manchester City.

Tempo berterusan juara Eropah itu membenam Norwich, Southampton, Arsenal dan Burnley, sekali gus melaungkan mesej awal mereka berazam untuk menebus kegagalan tewas satu mata di tangan City musim lalu.

Pemain Arsenal, Dani Ceballos masih baharu dalam bola sepak Inggeris selepas menyertai secara pinjaman dari Real Madrid dan pemain tengah Sepanyol itu mengakui bagaikan termengah-mengah dengan tekanan berterusan Liverpool ketika mengalahkan mereka 3-1 bulan lalu.


LUCAS Torreira membalas satu gol buat Arsenal menentang Liverpool, perlawanan yang menyesakkan nafas Ceballos. — FOTO premierleague.com

“Saya tidak pernah menyaksikan sesuatu sebegitu. Saya tidak pernah melihat satu pasukan yang bermain lebih bagus, menekan dengan lebih bagus. Perlawanan itu memberi impak terhadap saya,” kata Ceballos kepada akhbar Daily Mail.

“Mereka membuatkan anda tercungap-cungap. Anda menghabiskan banyak masa bertahan dan apabila anda cuba untuk bernafas dan memegang bola seketika, mereka merampasnya kembali daripada anda.

“Saya fikir Juergen Klopp kini mempunyai pasukan yang benar-benar memenuhi perancangannya apabila beliau memulakan tugas empat tahun lalu.”

Pujian sebegitu menggambarkan tugas getir dihadapi City ketika mereka cuba menghalang Liverpool memenangi kejuaraan Inggeris kali pertama sejak 1990.


CITY membelasah West Ham 5-0 di gelanggang lawan. — FOTO premierleague.com

City mungkin memenangi dua kejuaraan Liga Perdana terakhir dengan penuh bergaya, namun Liverpool kelihatan lebih bagus musim ini dan Newcastle dijangka tidak menggugat perkembangan mereka di Anfield hujung minggu ini.

Ketika City bertemu Norwich pada aksi awal pagi Ahad ini, juara bertahan itu mungkin ketinggalan lima mata di belakang Liverpool bila mana mereka melakukan sepak mula di Carrow Road.

Pasukan kendalian Pep Guardiola belum kalah dan sudah membenam West Ham serta Brighton, namun kesilapan tunggal mereka – seri menentang Tottenham – membolehkan Liverpool unggul di depan dan mereka tidak boleh melakukan satu lagi kesilapan menentang pasukan kedua tercorot Norwich.

Jadual Perlawanan

Esok

Liverpool mln Newcastle (7.30 mlm), Brighton mln Burnley, Manchester Utd mln Leicester, Sheffield Utd mln Southampton, Tottenham mln Crystal Palace, Wolves mln Chelsea (semua 10 mlm)

Awal pagi Ahad

Norwich mln Manchester City (12.30 tgh mlm)

Ahad

Bournemouth mln Everton (9 mlm), Watford mln Arsenal (11.30 mlm)

Awal pagi Selasa

Aston Villa mln West Ham (3 pagi)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 10:18 AM