21 pelatih akan berlepas ke Jepun. FOTO/NFDP
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


SERAMAI 21 pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dari Akademi Tunas Kota Setar, Akademi Tunas Kuala Muda Yan dan Akademi Tunas Kubang Pasu, Kedah selaku Juara Kejohanan Bola Sepak Yakult Global Cup 2019 berlepas ke Osaka Jepun, malam ini untuk mengikuti Kejohanan Bola Sepak Piala Global J Green Sakai.

Berdasarkan catatan di laman Facebook NFDP, mereka dijadual mengikuti kejohanan tajaan Yakult Malaysia bermula 12 hingga 18 September ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni, Kementerian Pendidikan Malaysia, Zainal Abas mewakili Menteri Pendidikan Malaysia meluangkan masa bersama pelatih terbabit.

Beliau memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada semua pemain agar memberikan yang terbaik dalam kejohanan itu.

Kementerian Pendidikan Malaysia antara pemegang taruh program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Difahamkan kejohanan berkenaan akan disertai pasukan ternama bawah 12 tahun di Asia seperti Buriram United dari Thailand, Cerezo Osaka, Fagiano Okayama, Vissel Kobe, Voltis Tokushima dari Jepun serta beberapa lagi pasukan lain dari Korea, China dan Australia.

Sementara itu, ketua jurulatih remaja NFDP Kedah, Mahamud Harun berkata, kejayaan berkenaan menjadi pemangkin buat pemain cilik Kedah  terus cemerlang di persada tanah air pada suatu hari nanti.

"Syukur ke hadrat Ilahi atas pencapaian pelatih atau ubi NFDP Kedah mengungguli pentas tertinggi untuk layak ke Piala Yakult Global 2019 di Osaka, Jepun.

"Kejayaan dicapai hari ini bermula sejak 2014 lagi apabila anak-anak ini mula berjinak dalam Program NFDP melalui Akademi Tunas dari usia tujuh tahun.

"Muncul johan B-10 di Karnival Kebangsaan Akademi Tunas di Tanjung Malim dan seterusnya muncul juara  di Pertandingan Akhir Piala Yakult 2019 yang berlangsung  di MSN Bukit Jalil," katanya dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 1:54 AM